NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres berkata pada Selasa sebanyak 11 bilion dos vaksin COVID-19 diperlukan untuk kegunaan 70 peratus penduduk dunia bagi menamatkan pandemik, lapor Agensi Berita Xinhua.
“Dana dan ikrar sumbangan vaksin dialu-alukan – tetapi masih tidak mencukupi. Kita perlu sekurang-kurangnya 11 bilion dos untuk menjayakan kempen vaksinasi sekali gus mengakhiri pandemik ini.
“Setiap individu walau di mana jua berada harus mempunyai akses kepada vaksin, ujian, rawatan dan bantuan COVID-19.
“Pembangunan dan pemberian vaksin melalui mekanisme ekuiti global, ACT-Accelerator serta kemudahan COVAX, memberi sedikit sinar harapan,” katanya pada pembukaan Mesyuarat Menteri-Menteri Forum Politik Peringkat Tinggi mengenai Pembangunan Mampan.
Mengulas mengenai “ketidaksamaan akses” vaksin yang berlaku di seluruh dunia, Setiausaha Agung itu berkata “jurang vaksinasi global mengancam semua” kerana virus tersebut terus bermutasi, menjadikannya lebih ganas dan membahayakan nyawa.
“Dunia memerlukan Rancangan Vaksinasi Global, sekurang-kurangnya dalam menggandakan pengeluaran vaksin, memastikan agihan yang adil melalui COVAX, menyelaras pelaksanaan dan pembiayaan, serta menyokong program imunisasi kebangsaan.
“Bagi merealisasikan rancangan ini, saya telah meminta Pasukan Petugas Kecemasan untuk menghimpun negara yang menghasilkan dan dapat menghasilkan vaksin, Pertubuhan Kesihatan Sedunia, ACT-Accelerator dan institusi kewangan antarabangsa, untuk berurusan dengan syarikat farmaseutikal dan pengeluar, termasuk pihak berkepentingan lain.
Justeru katanya, demi menamatkan pandemik dan memulihkan dunia adalah penting untuk membiayai sepenuhnya ACT-Accelerator dan mendukung pelan hala tuju pelaburan US$50 bilion yang diketuai Dana Kewangan Antarabangsa, Bank Dunia, Pertubuhan Kesihatan Dunia dan Pertubuhan Perdagangan Dunia.
— BERNAMA