Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
KUALA LUMPUR, 13 Julai -- Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun pada sidang media selepas Program PRIHATIN Kasih di Pudu Plaza hari ini. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA KUALA LUMPUR, July 13 -- Minister of Women, Family and Community Development Datuk Seri Rina Mohd Harun at a press conference after the PRIHATIN Kasih Programme at Pudu Plaza today. --fotoBERNAMA (2021) COPYRIGHT RESERVED

PRIHATIN Kasih: Lebih 110,000 penerima bantuan JKM layak

KUALA LUMPUR, 13 Julai — Seramai 110,284 penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daripada keseluruhan 300,000 isi rumah di seluruh negara layak menerima manfaat melalui program PRIHATIN Kasih yang dilaksanakan kerajaan melalui Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA).

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata penerima JKM itu membabitkan kelompok miskin bandar berdasarkan pangkalan data JKM dan e-Kasih yang disemak silang dengan pangkalan data Bantuan Prihatin Rakyat (BPR).

“Program PRIHATIN Kasih dengan peruntukan RM100 juta ini telah diumumkan sebagai satu daripada langkah pakej PEMERKASA bagi membantu kos sara hidup bagi golongan miskin bandar.

“Penerima PRIHATIN Kasih yang layak akan menerima SMS daripada MyKasih untuk mengesahkan status mereka sebagai penerima manfaat di bawah program ini, berserta tarikh dan masa untuk sesi taklimat orientasi di kedai runcit yang terdekat,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Program bantuan barangan dapur yang disalurkan secara tanpa tunai melalui penggunaan MyKad ini melibatkan bantuan bulanan sebanyak RM100 untuk tiga bulan yang boleh digunakan untuk pembelian barangan makanan asas berdasarkan pilihan isi rumah.

Program ini melibatkan lebih 300 rantaian pasar raya dan kedai di seluruh negara termasuk Mydin, Giant, Econsave, The Store, Pacific, Milimewa, 99 Speedmart, Lotus Stores (Tesco) serta kedai-kedai runcit.

Sementara itu, Rina memaklumkan kementerian melalui JKM juga telah menyediakan kemudahan permohonan Skim Bantuan Kebajikan secara dalam talian menerusi portal rasmi JKM www.jkm.gov.my atau ebantuanjkm.jkm.gov.my.

Sebarang maklumat dan bantuan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Talian Kasih 15999 dan menerusi aplikasi WhatsApp 019-2615999 yang beroperasi 24 jam sehari. 

— BERNAMA

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan