BAGAN SERAI, 13 Julai — Para mufti bersepakat prosedur operasi standard (SOP) surau dan masjid akan terus diperketat dan dipantau dalam usaha membendung penularan COVID-19 susulan diberi kebenaran dibuka semula kepada orang ramai.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata SOP lebih ketat itu penting bagi mengelakkan berlakunya ‘kluster pusat ibadah’ sekali gus nikmat mengimarahkan surau dan masjid ditarik balik.
“Untuk masalah masjid ini, saya sentiasa merujuk Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia. Ini penting supaya berlaku kebersamaan antara mufti dan pihak yang mewakili kerajaan negeri. Kesemuanya sepakat supaya SOP masjid ini diperketatkan.
“Ini tidak dapat dinafikan. Peluang (mengimarahkan masjid) ini perlu dijaga betul-betul untuk mengelakkan kluster masjid,” katanya dalam sidang media selepas menyerahkan kotak makanan dan beg sekolah di sini hari ini.
Umat Islam di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan mendapat kebenaran untuk kembali mengimarahkan surau dan masjid dengan pematuhan SOP yang ketat, mulai 9 Julai lepas.
Selain itu, solat Jumaat dan fardu turut dibenarkan di beberapa negeri yang beralih ke Fasa Dua Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara.
— BERNAMA