TUMPAT, 8 JULAI (Bernama) – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor merampas 38 ekor kambing jantan bernilai RM38,000 disyaki diseludup masuk dari Thailand di Kampung Jubakar, di sini hari ini.
Komander PPM Wilayah Tiga ACP Norzaid Muhammad Said berkata kesemua kambing disyaki untuk bekalan sambutan Hari Raya Aidiladha itu dirampas selepas anggota PPM mengesan sebuah lori jenis Isuzu dalam keadaan mencurigakan ketika menjalankan tugas pemantauan dan risikan di kawasan itu, kira-kira 4.30 pagi tadi.
“Anggota PPM bertindak mengekori lori tersebut namun disedari pemandunya lalu memecut kenderaan itu ke satu lorong di dalam Kampung Jubakar.
“Pemandu kemudian memberhentikan lori itu secara mengejut sebelum dua lelaki dilihat keluar dari lori itu lalu melarikan diri dalam keadaan gelap dengan meninggalkan kenderaan terbabit dalam keadaan enjin yang masih hidup,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Norzaid berkata pihaknya cuba mengesan kedua-dua suspek di kawasan berhampiran namun mereka gagal ditemukan.
Beliau berkata pemeriksaan lanjut ke atas lori kemudian menemukan 38 ekor kambing yang disyaki diseludup masuk menggunakan bot atau perahu melalui Sungai Golok.
“Selepas tiada sesiapa yang datang menuntut dalam tempoh 30 minit, kesemua kambing dan lori itu dirampas dan dibawa balik ke Markas Operasi PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 6(3) dan 36(1) Akta Binatang 1953.
“Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM88,000 termasuk lori yang dianggarkan bernilai RM50,000,” katanya.
— BERNAMA