KUALA LUMPUR, 6 Julai (Bernama) — Walaupun tidak dapat bersama-sama kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, Ketua Kontinjen (CDM) Datuk Lee Chong Wei tetap bersemangat untuk melaksanakan tugas dari tanah air.
Chong Wei berkata tanggungjawab dan amanah yang diberikan kepadanya oleh Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) adalah lebih penting berbanding kehadirannya di Tokyo.
Legenda badminton negara itu juga yakin dan percaya dapat membantu kontinjen negara untuk melakukan yang terbaik, meskipun berkomunikasi dengan pegawai dan atlet hanya menerusi pemantauan secara dalam talian.
“Kita semua sedia maklum, Sukan Olimpik pada tahun sangat berbeza, kerana ia akan diadakan dalam suasana pandemik yang masih belum reda, tapi usah risau, saya akan tetap menyokong dan memberikan kata-kata semangat kepada para atlet dari tanah air bagi memastikan kejayaan mereka di Tokyo.
“Tiada sebarang tekanan saya rasai untuk melaksanakan tanggungjawab ini, saya lakukan semua ini demi cinta saya terhadap Malaysia. Saya cuma mahu menggunakan peluang ini dengan sebaik-baiknya dan seronok membantu menaikkan semangat para atlet,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.
Semalam, Reezal Merican mengesahkan Chong Wei tidak akan ke Jepun atas faktor kesihatan dan nasihat doktor yang tidak membenarkannya ke luar negara, bagaimanapun pemenang pingat perak Sukan Olimpik itu, kekal sebagai CDM.
Beliau berkata Chong Wei akan memantau prestasi atlet secara maya sepanjang kejohanan berlangsung, manakala Setiausaha Agung MOM Datuk Mohd Nazifuddin Najib akan menguruskan kontinjen di Tokyo.
Chong Wei juga yakin bahawa Mohd Nazifuddin akan menjalankan tugas dengan baik selain memastikan akan sentiasa berhubung untuk mengetahui perkembangan terkini atlet di sana.
Menyedari bahawa persediaan ke temasya sukan terbesar dunia itu semakin giat dijalankan, Chong Wei menasihati semua atlet agar menjaga kesihatan dan mengelakkan diri daripada dijangkiti virus COVID-19.
Malaysia akan diwakili 30 atlet dan akan beraksi dalam 10 acara pada Sukan Olimpik Tokyo yang bermula pada 23 Julai hingga 8 Ogos ini.
— BERNAMA