KUCHING, JULAI 6: Bagi menggalakkan serta menghargai bakat dan sumbangan penggiat sastera di sini, Kerajaan Negeri Sarawak kini memberi pengiktirafan buat penggiat-penggiat sastera negeri Sarawak menerusi Anugerah Sastera Negeri Sarawak (ASNS).
Menurut Menteri Muda Kesihatan Awam dan Perumahan Sarawak Dr Annuar Rapaee , Anugerah Sastera Negeri Sarawak (ASNS) merupakan projek terulung kegiatan kesusasteraan dan kebahasaan di negeri Sarawak.
“ Projek ini di bawah naungan Kerajaan Negeri Sarawak manakala Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak pula bertindak selaku urus setia dalam merancang dan melaksanakannya kesusasteraan di negeri Sarawak,” kata beliau dalam satu kenyataan di sini.
ASNS ke-10 telah menganugerahkan lima calon yang layak memenangi tujuh kategori anugerah melalui satu upacara penganugerahan atas talian pada Selasa.
Jelas beliau, sepanjang tempoh penilaian, jawatankuasa panel penilai ASNS ke-10 yang dilantik oleh Kerajaan Sarawak telah mengadakan dua kali mesyuarat khas dan perbincangan khusus membincangkan, meneliti dan menilai maklumat serta bahan karya calon.
Pemenang-pemenang yang terpilih adalah Zainal Abidin Suhaili untuk Anugerah Sasterawan Negeri Sarawak manakala Anugerah Penulis Sarawak Genre Novel dan Anugerah Penulis Sarawak Genre Cerpen dimenangi oleh Abang Median Abang Said.
Anugerah Khas Bahasa dan Sastera dianugerahkan kepada Allahyarham Awang Bujang Awang Hamdan manakala Anugerah Penulis Sarawak Genre Puisi dan Anugerah Penulis Sarawak Genre Esei Kritikan dirangkul oleh Ja’afar Hamdan.
Anugerah Penulis Sarawak Kategori Bahasa Iban pula diberikan kepada Janang Ensiring.
“Saya berharap dengan pemberian pengiktirafan tertinggi ini, semua penulis Sarawak akan terus berusaha menghasilkan karya yang bermutu tinggi setanding dengan penulis-penulis dalam negara dan luar negara,” tambah Dr Annuar.