SIBU : Termakan janji-janji manis dengan pulangan berganda, seorang lelaki keruguan lebih RM40,000 apabila “pelaburan’nya lesap dalam sekelip mata.
Mangsa, 30 tahun, yang bekerja di kedai servis pencucian cermin mata terpaksa berputih mata gara-gara terpedaya dengan janji pulangan berlipat ganda oleh sindiket pelaburan dalam talian tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, mangsa, 30, yang bekerja di kedai servis pencucian cermin mata telah berkenalan dengan seorang wanita menerusi aplikasi ‘Tantan’ pada 30 Jun lalu.
Katanya, wanita terbabit kemudian menawarkan pelaburan dalam aplikasi sebuah pusat beli-belah dalam talian yang boleh memberi pulangan sebanyak 5 peratus dari setiap wang dilaburkan.
“Mangsa berminat dan menekan pautan yang diberikan selain turut melakukan pemindahan wang ke dalam akaun yang diberikan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Stanley berkata, mangsa juga bertanya kepada suspek berkaitan pulangan yang dijanjikan dan dia diberitahu perlu menyelesaikan dua kali pembayaran terlebih dahulu.
Mangsa yang terasa dirinya tertipu setelah tidak menerima sebarang pulangan kemudian tampil membuat laporan polis.
Selain itu, mangsa juga turut mendakwa wang tersebut dipinjam daripada rakan dan ahli keluarganya.
Katanya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.