Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
daun ketum

Polis Kelantan rampas daun ketum bernilai RM12, 000 di sekatan jalan raya

ByJas

JELI, 4 Julai (Bernama) — Polis Kelantan mematahkan dua aktiviti penyeludupan daun ketum dengan nilai keseluruhan RM12,000, dalam kes berasingan di sekatan jalan raya (SJR) Batu Melintang, di sini, pada 2 dan 3 Julai.  

Ketua Polis Daerah Jeli DSP Ahmad Arifin berkata bagi kes rampasan pertama kira-kira 1.30 pagi pada Jumaat, pihaknya menemukan 100 bungkusan plastik hitam yang mengandungi satu tan daun ketum bernilai RM10,000.

Beliau berkata seorang lelaki berusia 28 tahun cuba menyeludup barangan larangan itu dengan menggunakan taktik menyembunyikannya dalam timbunan anak pokok kelapa sawit yang dibawa menggunakan sebuah lori.

“Polis menahan lori yang dipandu suspek terbabit kerana dalam keadaan mencurigakan. Hasil pemeriksaan terhadap lori itu yang datang dari arah Gerik-Jeli, telah menemukan barangan berkenaan yang dipercayai untuk dipasarkan di beberapa daerah di Kelantan.

“Suspek yang negatif dadah dan tidak mempunyai rekod lampau itu direman bermula 2 Julai hingga esok,” katanya pada sidang media di dewan terbuka Ibu Pejabat Polis Daerah Jeli, di sini hari ini.

Sementara itu, dalam kes berasingan di lokasi SJR yang sama, kira-kira 1.30 tengah hari, semalam, seorang lelaki berusia 22 tahun turut ditahan selepas polis menemukan 20 bungkusan beg plastik hitam mengandungi daun ketum seberat 200 kilogram yang bernilai RM2,000.

Beliau berkata suspek terbabit yang memandu Proton Persona ditahan kerana merentas negeri tanpa memiliki surat kebenaran rentas negeri dan hasil pemeriksaan lanjut telah menemukan barangan berkenaan dalam kenderaannya.

“Hasil ujian urin terhadap suspek mendapati negatif dadah dan dia direman bermula hari ini hingga 7 Julai,” katanya sambil memberitahu kedua-dua suspek disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

“Kesemua bekalan daun ketum yang dirampas itu diperoleh dari Semenanjung utara untuk dipasarkan ke negeri ini. Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda maksimum RM10,000 atau penjara selama tempoh empat tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Sementara itu, beliau turut berkata enam lelaki termasuk seorang warga Thailand ditahan kerana memiliki 513 biji pil kuda, 12 gram syabu, tiga kilogram daun ketum dan 600 mililiter air ketum yang telah diproses dengan nilai keseluruhan RM6,380.

Kesemua individu berumur 30 hingga 50 tahun itu ditahan ketika sedang khayal atau di bawah pengaruh dadah, di kawasan pondok di Kampung Gemang Ayer Lanas, daerah sini, semalam.

“Kesemua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 39A(1) akta yang sama dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya.

— BERNAMA

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan