MIRI, 4 Julai – Pelbagai inisiatif yang dilakukan wakil rakyat dalam memberi bantuan kepada penduduk yang terjejas akibat pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Terutamanya, bagi mereka yang terkesan dari segi kewangan dan hilang pekerjaan sepanjang tempoh yang sukar ini.
Sebagai contoh, Pusat Khidmat SUPP DUN Piasau telah mewujudkan “Food Bank” bagi memberi bantuan makanan kepada golongan yang memerlukan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, bekalan makanan yang dimasak itu merupakan sumbangan daripada pihak yang bermurah hati.
“Kita menerima bekalan makanan seperti beras, ayam, telur, makanan dalam tin, sayur-sayuran, bijiran, roti dan sebagainya. Jadi kita telah mewujudkan ‘Food Bank’ bagi menempatkan semua bekalan makanan yang diterima,” katanya ketika dihubungi pemberita TVS pada Ahad.
Jelas Sebastian, program ‘Food Bank’ itu telah dibuka semalam (sabtu) dan diharapkan hari ini mereka akan menerima lebih banyak bekalan makanan daripada mereka yang bermurah hati untuk memberi sumbangan.
“Jadi, setiap individu yang datang boleh mengambil dua jenis barangan makanan sahaja termasuk roti dan sayuran bermula pagi hingga petang dan ianya percuma.” tambah beliau.
Orang ramai yang datang mengambil makanan juga akan diberi pelitup muka dan makanan yang dimasak itu untuk hidangan makan tengah hari dan makan malam.
Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak menjelaskan tentang program vaksinasi di DUN Piasau khasnya dan Miri amnya berjalan dengan lancar sama ada di kawasan bandar, pingggir bandar mahu pun di luar bandar.
“Di bandar seperti di Piasau, Pujut dan Senadin kita ada tiga PPV iaitu satu di Eastwood Valley, Curtin University dan Riam Road Secondary School (RRSS). Kapasiti dan jumlah penerima vaksin juga semakin bertambah dan memberansangkan,” tambahnya lagi.
Beliau juga menggalakkan orang ramai yang belum mendaftar mendapatkan vaksin supaya berbuat demikian melalui aplikasi Mysejahtera atau melalui platform yang telah disediakan oleh kerajaan.