“Naikkan bendera putih di kediaman anda jika memerlukan bantuan makanan dan keperluan.”
Itu kempen tular yang digerakkan pelbagai pihak menerusi laman media sosial beserta penggunaan pagar berpalang #kempenbenderaputih bertujuan membantu golongan dalam kesusahan.
Jika dilihat dilaman Twitter, pagar berpalang #benderaputih turut menerajui carta ‘Trending’ di Malaysia dengan lebih 10,000 ciapan mengenainya (setakat laporan ini ditulis).
Malah, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Zuraida Kamaruddin turut menghantar ciapan: “Saya bersama dalam kempen #benderaputih ini bagi mengenal pasti mereka yang memerlukan bantuan. Tak perlu merayu, tak perlu malu. Kibar saja bendera.” di laman Twitter rasminya.
Begitu juga dengan ikon siarawan tanah air Datuk Aznil Haji Nawawi yang turut serta mengibarkan bendera putih di lawan Twitternya dan menggalakkan orang ramai untuk bersama menyokong kempen berkenaan.