SRI AMAN: Pemandu kedua dan seorang penumpang sebuah bas ekspres dikejarkan ke Hospital Sri Aman kerana cedera dalam kemalangan di Kilometer 25 Jalan Sri Aman-Kuching hari ini.
Ketua Polis Daerah Sri Aman, DSP Bingkok berkata pemandu dikenali sebagai Billy James dan penumpang, Yanti Mustafa.
Seorang pemandu dan lima lagi penumpang tidak cedera.
Menurutnya, kemalangan tersebut berlaku ketika bas tersebut dalam perjalanan dari Miri ke Kuching iaitu sekitar jam 6.40 pagi.
“Setiba di lokasi kejadian, bas tersebut dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar tembok penghadang jalan lalu jatuh dan terbalik. Seorang penumpang dan pemandu bas simpanan dikejarkan ke Hospital Sri Aman dan menerima rawatan sebagai pesakit luar,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Jelasnya juga, empat daripada penumpang bas tersebut merupakan warga Indonesia.
“Empat warga Indonesia termasuk dua wanita masing-masing mempunyai permit perjalanan dan mereka dalam perjalanan balik ke negara asal melalui Tebedu dan Biawak,” katanya.