Bekas Pesakit COVID-19 Digalak Terima Vaksin Selepas 2 Minggu Selepas Sembuh

ByOdleen Catherny

KUCHING, 28 JUN: Pendapat bahawa bekas pesakit COVID-19 hanya boleh menerima vaksin COVID-19 selepas 3 bulan setelah disahkan sembuh daripada wabak berkenaan tidak dinafikan oleh pakar kesihatan.

Hal berkenaan turut tidak dinafikan oleh para petugas kesihatan di mana-mana Pusat Pemberian Vaksin (PPV) COVID-19.

Bagaimanapun, menurut Pegawai Perubatan, Dr Gerald Sim Lai Meng, bekas-bekas pesakit ini sebenarnya boleh divaksin selepas dua minggu sembuh dari COVID-19.

“Secara semula jadi, selepas disahkan positif COVID-19, pesakit-pesakit ini akan mampu membangunkan antibodi sendiri yang digelar sebagai imuniti pasif.

“Namun sekarang, mereka digalakkan untuk menyuntik dalam tempoh 2 minggu selepas disahkan sembuh kerana kita khuatir jangkitan pesakit-pesakit ini disebabkan oleh mutasi COVID; dikenali sebagai varian, jadi kami menggalakkan vaksinasi lebih awal,” katanya kepada TVS, baru-baru ini.

Dr Gerald turut menasihatkan orang ramai untuk tidak takut menerima vaksin masing-masing sebaliknya lebih takut akan kemungkinan untuk dijangkiti COVID-19.

Turut mengesahkan perkara berkenaan adalah Pengurus Eksekutif, Pusat Perubatan Borneo (BMC), Dr Kenneth Tan yang mengatakan, meskipun mampu membangunkan imuniti secara semula jadi, mereka( bekas pesakit COVID-19) tetap perlu menerima vaksin COVID-19.

“Mereka perlu juga menerima vaksin COVID-19.

“Ini kerana pakar masih belum dapat memastikan berapa lama mereka boleh terlindung daripada mendapat jangkitan selepas sembuh daripada COVID-19,” katanya ketika dihubungi TVS, baru-baru ini.

Sementara itu, seorang Pengamal Perubatan Am, Dr Sri Viknarajan dalam portal Doctoroncall memberitahu, mereka yang pernah disahkan positif COVID-19 boleh segera melakukan vaksinasi kecuali pesakit yang telah mendapat terapi khusus seperti monoclonal antibody ketika dirawat.

“Hal ini kerana ia boleh mempengaruhi kadar keberkesanan vaksin yang di ambil,” katanya bagi menjawab persoalan orang awam berkaitan kesan yang mungkin dialami sekiranya bekas pesakit COVID-19 mengambil suntikan vaksin dalam tempoh kurang 90 hari yang telah disarankan.

Pada Februari lepas, Kementerian Kesihatan (KKM) memberitahu, pihaknya akan membuat penilaian keperluan bekas pesakit Covid-19 untuk menerima suntikan vaksin, terutama bagi pesakit yang mendapat jangkitan pada tahap satu hingga tiga.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sekiranya ia membabitkan jangkitan tak bergejala atau gejala ringan, pertahanan antibodi yang terjana mungkin tak memadai dan harus mendapatkan dua suntikan vaksin.

“Tetapi jika jangkitan pada tahap 4 atau 5 antibodi terjana lebih kekal dan tinggi, bagaimanapun kita akan buat penilaian hal berkaitan,” katanya.

Tambah beliau lagi, bekas pesakit COVID-19 boleh dipertimbangkan untuk menerima suntikan vaksin sekiranya tiada antibodi dikesan dalam tempoh antara tiga hingga enam bulan selepas pulih.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan