Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Sukar Namun Tidak Mustahil, PPV KK Long Panai Mula Beroperasi

ByOdleen Catherny

MIRI, 26 Jun: Sasaran kerajaan untuk memvaksin penduduknya dengan segera bukan hanya tertumpu di kawasan bandar sahaja tetapi juga di luar bandar.

Tampak sukar jika diukur dengan cabaran yang perlu ditempuhi namun ia juga tidak mustahil untuk dilaksanakan.

Usaha kerajaan terbukti sekali lagi apabila sebuah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) COVID-19 di pedalaman Baram iaitu PPV Klinik Kesihatan {KK} Long Panai mula beroperasi pada hari ini.

Pada hari pertama sahaja, lebih 200 orang telah menerima suntikan vaksin COVID-19 masing-masing.

Penerima vaksin di PPV KK Long Panai bukan sahaja melibatkan penduduk dari Long Panai malah juga dari kampung di sekitarnya, seperti Long Patan, Long Palo, Long Ukok dan Long Terawan.

Salah seorang penerima vaksin, Julyane Surang Lawrence, 23, menzahirkan rasa syukur kepada kerajaan kerana menyediakan program vaksinasi secara percuma untuk rakyat.

“Saya amat berterima kasih kepada kerajaan kerana telah mengusahakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan secara percuma untuk rakyat. Selepas menerima vaksin sebentar tadi, saya tidak mengalami sebarang komplikasi mahupun sakit ketika disuntik,” katanya.

Julyane Surang Lawrence, 23

Pahang Anyi, 64 pula menyeru kepada orang ramai untuk mendapatkan vaksin COVID-19 dengan segera.

“Saya menyeru kepada penduduk di kawasan Long Panai untuk datang dan mendapatkan vaksin masing-masing. Manfaatkanlah peluang ini untuk divaksinasi,” seru Pahang yang berpuas hati selepas dia menerima dos pertamanya, pada Sabtu.

Pahang Anyi, 64

Senada dengan Pahang, Ngau Ding Ngau, 69, turut berharap kes COVID-19 dalam negara akan menurun selepas semua orang divaksinasi sepenuhnya.

“Saya berharap dengan adanya program vaksinasi ini, ia dapat melandaikan lekuk wabak COVID-19 dalam komuniti kita. Dengan itu juga, saya menyeru kepada semua orang untuk mendapatkan vaksin masing-masing,” ujarnya.

Ngau Ding Ngau, 69

Pada Jumaat, penghantaran vaksin COVID-19 dibuat melalui penerbangan bomba dari Long Seridan dan Long Banga, seterusnya menuju ke Long Panai, dengan mengikuti Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Setakat ini, vaksin yang telah dihantar dan diberikan kepada penduduk di kawasan tersebut adalah vaksin Sinovac.

Para penerima vaksin adalah dari kalangan warga emas dan mereka yang berumur 18 tahun ke atas.

Helikopter tiba di KK Long Panai.
Warga emas dipimpin masuk ke PPV KK Long Panai.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan