NAMA Nisa Addina mungkin bukan asing lagi dalam industri muzik tempatan.
Pernah memenangi tiga anugerah di World Championships Of Performing Arts Hollywood di usia 14 tahun, Nisa kini tampil sekali lagi menghangatkan Borneo Jazz Festival pada hari kedua.
Beliau yang kini masih bergiat aktif dalam industri muzik mengakui berasa kagum dengan sokongan orang ramai terhadap industri muzik terutamanya muzik tradisional Sarawak.
Menurutnya, gabungan antara muzik tradisional dan moden dilihat berjaya menarik minat golongan belia dalam mendalami elemen seni tradisional di Sarawak.
“Saya rasa, muzik tradisional akan terus maju ke hadapan, dan saya rasa orang ramai juga perlu didedahkan dengan muzik atau elemen tradisional Sarawak. Walaupun zaman berubah, namun kita tetap menghargai budaya kita. Seronok apabila melihat orang ramai mula menggabungkan muzik tradisional dan muzik moden. Saya rasa ini sesuatu yang bagus dimana orang muda seperti kita memerlukan sesuatu yang baru,” katanya ketika ditemubual pemberita TVS pada Jumaat.
Berjaya menempa nama di usia yang muda, beliau menjadikan pengalaman dan cabaran untuk terus berkarya.
“Sudah pasti apa yang saya lalui, segala cabaran dan pencapaian banyak mengajar saya. Agak mencabar terutama dari segi mental lebih-lebih lagi apabila anda bermula di usia yang muda dimana anda bersenang-senang. Saya bermula di usia 13 dan 14 tahun dan ianya sangat mencabar. Tetapi kamu harus menjalaninya dan belajar. Saya akan terus berkarya,” tambahnya
Beliau berharap penggiat seni tempatan terus berkarya dan mencuba sesuatu yang baharu bagi memeriahkan lagi industri seni tempatan.
“Nisa berharap orang ramai akan terus melakukan apa yang mereka minat. Walaupun kita berasa selesa di zon yang selamat dalam muzik tetapi lebih menarik sekiranya kita berada di luar kotak supaya kita boleh menghasilkan pelbagai karya.”