PADAWAN, JUN 24: Kelegaan ibu gadis remaja yang ditemui selamat selepas hilang sembilan hari hanya sementara apabila mendapati anaknya itu sebenarnya dirogol.
Remaja dari Matang itu akhirnya ditemukan selamat di sebuah pasar raya di Jalan Sultan Tengah di sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintenden Aidil Bolhassan memaklumkan kes itu kini disiasat sebagai kes rogol susulan laporan polis dibuat ibu mangsa di Balai Polis Batu Kawa berhubung perkembangan itu.
Siasatan awal mendapati mangsa telah tinggal bersama teman lelakinya selama tempoh lapan hari dia tidak balik ke rumah.
“Bertindak atas laporan yang dibuat ibu mangsa, anggota kita menahan teman lelaki mangsa untuk membantu siasatan,” jelas Aidil.
Kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
Suspek berusia sekitar 20-an dan berasal dari Kota Samarahan.
Mangsa telah diserahkan kepada pihak polis dan dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk pemeriksaan kesihatan.