MIRI: Kerajaan Sarawak menyasarkan mencapai sifar rumah setinggan menjelang tahun 2025, kata Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew.
Minggu lalu, paparan TVS mengenai nasib dua orang warga emas, Mina Japar, 79 dan Gani Lindang, 75, antara penduduk Kampung Pasir yang mendiami 300 rumah setinggan yang menanggung keperitan hidup tanpa pekerjaan tetap lantaran PKP telah hangat diperkatakan dan mendapat perhatian ramai.
Sebastian berkata pihak beliau telah berbincang dengan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan bersama pegawai kerajaan yang lain untuk merancang membangunkan kawasan Kampung Pasir dan membela nasib penduduk di sana.
“Ini dengan menyediakan pelbagai inisiatif bukan sahaja menumpukan kepada pembangunan penempatan malah mempunyai beberapa inisiatif dari segi ekonomi dan sosial bagi membantu golongan B40 di perkampungan setinggan,” katanya.
Difahamkan, di Kampung Pasir, Miri masalah bekalan elektrik dan air bersih menyukarkan aktiviti harian penduduk setempat.
Datuk Sebastian turut menekankan mengenai isu pendidikan dengan menasihati penduduk Kampung Pasir agar tidak mengabaikan pendidikan anak-anak mereka dan memastikan mereka mendapat pendidikan formal yang sepatutnya.
Beliau pasti dengan impak pendidikan yang betul maka generasi muda tempatan dapat keluar dari kitaran kemiskinan.
“Jika tidak, generasi sekarang hanya menamatkan sekolah sehingga tingkatan 3 ataupun tingkatan 5 serta sukar untuk mendapatkan pekerjaan pada zaman ini dengan hanya pencapaian akademik sedemikian ” ujar beliau.
Kawasan Kampung Pasir merupakan tanah milik syarikat minyak dan gas shell pada suatu masa dahulu. Namun, tanah tersebut telah digazetkan sebagai milik kerajaan dan penempatan Kampung Pasir kini telah pun berusia lebih 40 tahun.