Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Sarawak Perlu Bangunkan Guru Tempatan Atasi Kekurangan Guru – Jaziri Alkaf

KUCHING, 21 Jun (Bernama) — Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sarawak Senator Jaziri Alkaf Abdillah Suffian berkata Sarawak perlu membangunkan guru sendiri bagi mengatasi masalah kekurangan tenaga pengajar di negeri itu pada masa hadapan.

Beliau berkata satu mekanisme perlu diwujudkan supaya ia dapat digunakan untuk menjangkakan apa yang bakal berlaku kerana tidak semua guru dari negeri lain yang mahu dihantar untuk berkhidmat ke negeri ini.

“Selain itu, Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak (MESTR) juga perlu mengambil inisiatif sendiri dengan memberikan input kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kerana mereka berada di lapangan dan mengetahui apa yang diperlukan di kawasan terbabit,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Katanya, MESTR perlu mengambil peranan untuk membantu membangunkan tenaga pengajar di Sarawak, walaupun umum mengetahui tugas penempatan guru ini di bawah KPM dan kerajaan Persekutuan.

“Tapi tak semestinya ia menjadi penyebab MESTR tidak mengambil inisiatif sendiri di peringkat negeri. Pelbagai cara boleh dilakukan untuk membantu masalah kekurangan guru di Sarawak ini,” katanya.

Jaziri Alkaf berkata ketika ini MESTR mempunyai tiga fokus utama iaitu isu sekolah daif, penguasaan  bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar dan inisiatif pengukuhan pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) yang semuanya bertumpu kepada pelajar.

“Pada masa yang sama, MESTR perlu melihat keperluan guru kerana mereka inilah yang akan mencorakkan generasi akan datang dan tidak hanya fokus kepada pelajar semata-mata tetapi tenaga pengajar juga adalah sama penting,” katanya.

Semalam, Menteri Kanan Pendidikan Dr Radzi Jidin mengumumkan kemelut kekurangan guru yang telah berlaku sejak sekian lama akan berakhir apabila KPM bakal membuat pengambilan khas secara ‘one-off’ melibatkan sejumlah 18,702 guru bagi gred DG41.

Empat negeri yang kini berada dalam keadaan kritikal berkenaan isu kekurangan guru ialah Sarawak, Sabah, Johor dan Selangor.

Mengulas perkara itu, Jaziri Alkaf menyeru agar keutamaan diberi kepada graduan bidang pendidikan institut pengajian tinggi awam dan swasta yang belum mendapat penempatan selain tiada birokrasi yang boleh melambatkan proses pengambilan guru.

— BERNAMA

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan