KUCHING, JUN 21: Keprihatinan orang ramai terhadap nasib yang menimpa mangsa banjir besar Bintawa yang berlaku awal tahun ini seolah-olah memberi sinar harapan buatnya sekeluarga setelah kehilangan rumah berteduh dalam kejadian itu.
Hasil sumbangan orang ramai Nur Fazlina Rajani, 26, kini boleh menarik nafas lega apabila rumah barunya hampir siap seratus peratus.
Rumah yang hampir siap ini yang akan menjadi tempat untuk beliau sekeluarga berteduh dan menjana pendapatan sampingan.
Pendapatan keluarga beliau telah sedikit sebanyak terjejas untuk seketika.
Rentetan kejadian tersebut, beliau sekeluarga telah disediakan rumah penginapan sementara oleh Kuching Family Homestay selama empat bulan.
Sebelum menginap di situ mereka terlebih dahulu menginap dirumah nenek mereka di sebelah rumah.
Keluarga beliau menjana pendapatan dengan melakukan bisnes menjual makanan secara kecil kecilan.
Biarpun menetap di rumah sementara, mereka masih menjalankan perniagaan seperti biasa iaitu kek lapis dan kuih muih bagi menampung perbelanjaan harian.
Empat puluh peratus rumah yang dibina kini adalah hasil sumbangan dari orang awam.
Bapa beliau, Rajani Borhan meluahkan rasa terharu oleh sumbangan pihak yang yang menghulurkan bantuan kepada dirinya sekeluarga.
‘Kehilangan rumah asal saya sangat menyedihkan kerana banyak memori dan kenangan rumah lama dulu. Masa ini Alhamdulillah atas bantuan secara langsung dan tidak langsung dapat membina kembali rumah seperti yang sedia ada ini,” katanya.
Rumah yang baru siap dibina ini didiami oleh sembilan orang ahli keluarganya.
Rajani memberitahu satu ruang khas telah disediakan untuk isteri kesayangan beliau dan anak perempuan mereka untuk membuat kuih muih demi minat dan kelangsungan hidup keluarga mereka.
‘Mengenai rumah lama terlalu banyak memori dimana mereka berkumpul. Bila masuk rumah baru mereka tercari-cari suasana seperti rumah lama.’ ujarnya dalam nada sebak ketika di temubual oleh krew TvS.
Untuk siaran lanjut mengenai berita ini boleh tonton di Facebook Page TVS Siaran Utama.