KAZAKHSTAN: Atlet pecut negara acara 100 meter Jonathan Nyepa tidak menyangka larian yang dilakukan pada kejohanan Olahraga Qosanov Memorial di Almaty, Kazakhstan menyumbang pingat untuk negara.
Menurut atlet kelahiran Sarawak itu beliau tidak menyangka usahanya itu telah membuahkan hasil memandangkan kejohanan ini adalah kejohanan antarabangsa pertama yang disertai kontinjen olahraga negara setelah sekian lama berehat akibat kekangan COVID-19.
“Saya gembira sebab dapat sumbang pingat untuk negara sebab pada awalnya saya datang ke sini sebab nak perbaiki catatan masa yang baik, tapi syukur usaha selama ini telah membuahkan hasil.” kata Jonathan ketika dihubungi TVS pada Isnin.
Kata Jonathan catatan masa yang diperolehi pada kejohanan kali ini menunjukan keputusan yang positif sekaligus mampu memberikan motivasi terbaik untuk mempamerkan aksi yang lebih cemerlang pada kejohanan akan datang.
Jonathan juga turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada Majlis Sukan Negeri Sarawak yang turut menjadi pendorong utama atlet asal Belaga itu beraksi pada kejohanan kali ini selain Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).
Jonathan dijangka tiba di Malaysia pada 24 Jun ini.
Pada kejohanan itu Jonathan meraih pingat perak dalam acara 100m dengan catatan masa 10.64 saat (s).
Wakil Kazakhstan Vitality Zems menjuarai acara riben biru itu dengan catatan masa 10.57s, sementara Ildar Akhmadiev dari Tajikistan membawa pulang gangsa.