KUCHING: Setelah sekian lama tidak menyertai Rainforest World Music Festival, Tuku’ Kame’ telah membuat kemunculan semula di konsert tersebut pada tahun ini.
Walaupun hanya membuat persembahan secara maya, namun Tuku’ Kame’ tetap teruja untuk menghiburkan peminat mereka yang sudah sekian lama menantikan persembahan mereka di RWMF.
Menurut Narawi Rashidi selaku pengasas kumpulan tuku’ kame’, nama kumpulan mereka membawa maksud pukulan kita ataupun lebih sinonim dengan irama kita.
Tuku’ yang membawa maksud pukulan, manakala kame’ pula bermaksud saya. Kedua-dua perkataan tersebut diambil daripada bahasa melayu Sarawak.
Tuku’ Kame’ menggabungkan instrumen tradisional sarawak dari tiga puluh etnik yang tinggal di pulau borneo yang dimainkan dalam nada kontemporari untuk menghasilkan irama yang menarik.
Sebelum ini, Tuku’ Kame’ pernah tampil di beberapa negara seperti Amerika Syarikat, Korea, Jepun, Taiwan, Indonesia, Singapura, Australia, Kanada dan Monaco.
Malah, Tuku’ Kame’ turut banyak memenangi anugerah antarabangsa seperti MVT Breakthrough Awards, World Championship Of Perfoming Arts dan banyak Lagi.
Walaupun kemunculan semula Tuku’ Kame’ di RWMF pada tahun ini hanya secara maya, namun kemeriahannya tetap dirasai dan mereka turut bersemangat untuk memberikan persembahan yang terbaik.
Tambahnya lagi, walaupun keadaan pandemik negara menghalang untuk Tuku’ Kame’ membuat persembahan di atas pentas seperti biasa, namun mereka akan tetap menghiburkan peminat di platfom media sosial yang sedia ada dan terus berkarya untuk memperkenalkan muzik etnik Sarawak kepada seluruh dunia.