SIBU: Bagi memudahkan penduduk luar bandar menerima suntikan vaksin COVID-19, sebanyak tiga lagi pusat pemberian vaksin (PPV) dan empat (PPV) bergerak akan beroperasi di sekitar kawasan rumah panjang minggu hadapan.
Penyelaras Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu Dr Annuar Rapaee berkata, tiga PPV itu adalah di Dewan Suarah, University College Technology Sarawak (UCTS) dan Dewan Lakis.
Sehubungan itu, beliau turut membidas perbuatan segelintir pihak tidak bertanggungjawab yang cuba untuk menghasut sesetengah pihak supaya tidak menerima vaksin.
Ini susulan, ada pihak yang mempersoalkan keberkesanan vaksin tersebut.
Tegasnya, apa yang penting adalah semangat rakyat itu sendiri untuk menerima vaksin.
“Ada orang kata di Sibu ramai yang telah diberi vaksin tetapi kes makin naik, betul (berkesan) ke tidak vaksin ini. Kenyataan seperti ini tidak baik. Sekarang kita semua perlu berusaha gigih untuk beri semangat kepada orang ramai untuk menerima vaksin,” tegasnya.