Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Zakir Naik

Rayuan DR Zakir Naik Terhadap Kebenaran Pindah Kes Didengar 13 OGOS Ini

PUTRAJAYA, 18 Jun (Bernama) — Rayuan Dr Zakir Naik terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Uban S. Raveentharan untuk memindahkan kes saman difailkan penceramah bebas itu terhadapnya berhubung kenyataan fitnah ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, akan didengar pada 13 Ogos ini.

Peguam Meor Hafiz Salehan yang mewakili Dr Zakir ketika dihubungi pemberita berkata tarikh itu ditetapkan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Radzilawatee Abdul Rahman ketika pengurusan kes secara dalam talian, hari ini.

Pada 10 Ogos 2020, Dr Zakir memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 23 Julai tahun sama yang membenarkan permohonan Raveentharan untuk memindahkan kes saman itu atas alasan defendan (Raveentharan) dan saksi yang akan dipanggil untuk memberi keterangan berasal dari Pulau Pinang.

Pada 12 Dis 2019, Dr Zakir selaku plaintif memfailkan saman terhadap Raveentharan atas dakwaan memuat naik lima kenyataan fitnah di Facebook antara 13 dan 17 Okt tahun sama.

Dalam pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa lima kenyataan itu dilakukan dengan niat jahat tanpa membuat pengesahan daripadanya berhubung kebenaran dan kesahihan dakwaan dalam hantaran tersebut.

Dr Zakir mendakwa lima kenyataan yang dimuat naik itu menggambarkan bahawa dirinya sebagai orang yang jahat dan merupakan ancaman kepada keselamatan negara, keamanan, dan keharmonian di Malaysia selain mendakwa kenyataan itu tidak berasas dan palsu.

Oleh itu, plaintif memohon perintah daripada mahkamah supaya defendan mengeluarkan lima kenyataan fitnah itu daripada laman sesawang, media sosial atau mana-mana medium yang berkaitan selain menuntut ganti rugi am, teruk, teladan dan pampasan, serta relif lain.

— BERNAMA

Tags: #bm

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan