KUALA LUMPUR, 17 Jun (Bernama) — Pemain badminton perseorangan wanita Malaysia memulakan kempen Spanish International 2021 dengan langkah kanan apabila berjaya mara ke pusingan kedua perlawanan di La Nucia, hari ini.
Bekas juara dunia remaja Goh Jin Wei itu dilihat mudah menewaskan pemain tuan rumah Ana Ramirez 21-5, 21-7 dalam masa 19 minit.
Di pusingan kedua nanti beliau akan berentap dengan pemenang dalam perlawanan antara pemain Perancis Leonice Huet dan pemain England Abigail Holden.
Juara Sukan SEA 2019 yang merupakan pilihan keempat S. Kisona, turut mara ke pusingan berikutnya selepas menewaskan pemain dari Switzerland Nadia Fankhauser 21-15, 21-10, dan seterusnya dijadulkan menentang pemain tuan rumah Lucia Rodriguez nanti.
Seorang lagi pemain perseorangan wanita negara Eoon Qi Xuan menewaskan Freya Redfearn dari England dengan 21-9, 21-15, dan dijangka berhadapan dengan perlawanan sengit nanti, menentang pemain pilihan ketiga Marie Batomene dari Perancis.
— LAGI
SUKAN-BADMINTON (SEPANYOL) 2 (AKHIR) KUALA LUMPUR
Pasangan regu campuran Tee Kai Wun-Teoh Mei Xing turut melepasi pusingan pembukaan dengan menumpaskan pasangan Bulgaria Iliyan Stoynov-Hristomira Popovska 21-13, 21-17, dan akan berhadapan dengan pasangan pilihan keempat Dominik Stipsits-Serena Au Yeong dari Austria.
Bagaimanapun pemain perseorangan lelaki Lim Chong King tersingkir di pusingan pertama lagi, apabila tewas kepada pemain Republik Czech Jan Louda dengan 21-17, 21-15.
Terdahulu Misbun Ramdan Misbun melepasi pusingan kelayakan selepas menewaskan pemain Jerman Brian Holtschke 21-10, 21-13 di pusingan akhir kelayakan, untuk berentap dengan Yanis Gaudin dari Perancis nanti.
— BERNAMA