KUALA LUMPUR, 17 Jun (Bernama) — Pejabat Tun Abdullah Ahmad Badawi hari ini menafikan maklumat tular yang mendakwa bekas perdana menteri kelima itu meninggal dunia pagi tadi.
Menurut kenyataan pejabat itu, Tun Abdullah atau lebih mesra dipanggil “Pak Lah”, berada dalam keadaan sihat walafiat di samping keluarga.
“Pejabat akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang menyebarkan berita palsu. Pihak pengurusan berharap masyarakat dapat memastikan dahulu kesahihan daripada pihak yang berautoriti sebelum menyebarkan apa-apa berita bagi mengelakkan kekeliruan,” demikian menurut kenyataan itu.
Dakwaan mengenai Abdullah meninggal dunia itu dipercayai dimuat naik seorang individu menerusi media sosial hari ini dan kemudian tular.
— BERNAMA