PULAU PINANG, JUN 17: Mayat seorang lelaki tempatan ditemui dalam keadaan terputus dua, dipercayai terjun dari tingkat 26 Kondominium Golden Triangle di sini hari ini.
Difahamkan, mangsa bertindak terjun dari tingkat 26 kondominium berkenaan berikutan penemuan seliparnya di lokasi tersebut.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, pihaknya terima panggilan berhubung penemuan mayat mangsa daripada pekerja pembersihan kondominium berkenaan pada jam 8.58 pagi tadi.
Katanya, sebaik sahaja anggota polis tiba di tingkat enam, mereka menemui mayat mangsa dalam keadaan badan terputus dua.
Mangsa dipercayai terjun dari tingkat 26 kondominium berkenaan.
“Kita tidak menolak kemungkinan ketika terjatuh mangsa terhentak pada batu ruang tanaman bunga menyebabkan badanya terputus dua.
“Identiti mangsa belum dikenal pasti setakat ini namun kita percaya dia warga tempatan susulan parut suntikan Bacillus Calmette-Guerin (BCG).
“Siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengenal pasti identiti serta punca kejadian,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Tambah beliau, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan mayat dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk proses bedah siasat. – MalaysiaGazette