Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Vaksin

Wanita Hamil Kongsi Pengalaman Terima Suntikan Vaksin

LENGGONG, 14 Jun — Seorang wanita hamil yang juga rakyat Malaysia ketiga juta menerima vaksin COVID-19 Nur Amalina Baharuddin berkongsi pengalamannya selepas menerima suntikan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Serbaguna Gerik, Hulu Perak, petang Sabtu lepas.

Nur Amalina, 27, yang menerima suntikan vaksin jenis Pfizer-BioNTech tidak mengalami kesan sampingan selepas lebih 24 jam menerima suntikan berkenaan, hanya berasa sakit di bahagian bahu, tidak pening atau muntah manakala kandungannya juga kekal aktif.

“Alhamdulillah selepas 24 jam terima vaksin, saya dalam keadaan baik, begitu juga bayi. Saya tiada kesan sampingan seperti pening kepala atau muntah malah bayi juga aktif.

“Di sini (PPV) ada ramai doktor jadi kita boleh tanya apa-apa sahaja soalan dan pihak kesihatan turut menyediakan doktor yang lebih arif untuk ibu hamil menerima vaksin,” katanya kepada Bernama hari ini.

Nur Amalina yang hamil tujuh bulan setengah tidak menafikan sedikit gementar untuk mendaftar sebagai penerima vaksin memandangkan dirinya membawa satu lagi nyawa.

Katanya, tidak ramai wanita hamil yang telah divaksin berkongsi kisah mereka namun setelah banyak membaca dan mendapatkan nasihat doktor dia yakin untuk mendaftarkan diri dan menerima suntikan pertama.

“Demi menyelamatkan nyawa saya dan anak, inilah satu daripada cara saya ikhtiar sebab jika tidak divaksinasi risiko jangkitan adalah lebih tinggi. Vaksin adalah satu daripada cara untuk kita kembali kepada kehidupan normal.

“Ikutkan saya daftar di Kuala Lumpur namun saya pulang ke kampung di Lenggong setelah ditahan di wad kerana masalah kandungan bayi sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta suami saya yang bekerja ‘offshore’,” jelasnya yang akan menerima suntikan kedua pada 3 Julai.

Nur Amalina yang bekerja sebagai seorang pereka grafik berkata setelah pulang ke Lenggong, dia turut mendaftarkan diri di Klinik Kesihatan Lenggong serta mengisi borang diberikan ketua kampung kerana begitu bersemangat untuk menerima vaksin.

“Saya memang ingin sangat divaksin. Apabila saya menjadi orang ketiga juta terima vaksin saya sangat bersyukur kerana Allah tahu niat saya dan lihat usaha saya.

“Nasihat saya kepada semua ambillah vaksin kerana vaksin banyak kebaikan dan kepada ibu-ibu hamil diluar sana ambil vaksin untuk kebaikan diri dan anak. Bukan saya kata ambil vaksin tidak akan dijangkiti COVID-19 namun kurang risiko jangkitan,” katanya.

Sebelum ini, Nur Amalina muncul sebagai individu ketiga juta yang menerima suntikan vaksin melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan petang Sabtu di PPV Serbaguna Gerik, Hulu Perak dan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) menyatakan suntikan itu berjalan lancar.

Tags: #bm

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan