SIBU: Seramai 19,345 penduduk di Daerah Sibu telah lengkap menerima dua suntikan vaksin covid-19 setakat ahad, kata Penyelaras Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu, Dr Annuar Rapaee.
Menurutnya, bilangan yang sudah menerima dos pertama vaksin pula ialah 24,444 orang.
Katanya, bagi memperhebatkan lagi program imunisasi di daerah ini, beberapa langkah sedang dirancang untuk dilaksanakan.
Antaranya ialah mengwujudkan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di kawasan industri bagi memudahkan para pekerja serta keluarga mereka mendapatkan suntikan vaksin.
Selain itu, menambah bilangan PPV, Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan (JKKK) serta tuai rumah juga dibawa terlibat sama secara langsung menjayakan pogram imunisasi berkenaan.
Dr Annuar yang juga Menteri Muda Kesihatan Awam dan Kerajaan Tempatan juga berkata PPV yang diwujudkan di Kem Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut dibuka kepada orang awam.
Katanya, ATM juga turut terlibat sama dalam unit bergerak vaksinasi dalam memastikan tiada yang ketinggalan dalam program vaksinasi ini.
Dalam pada itu, Dr Annuar menjelaskan adalah penting bagi beliau untuk bertanya kepada semua peniaga adakah mereka sudah dapatkan vaksin kerana beliau berpendapat supaya semua bersetuju untuk di vaksinasi.