Kuching, 13 Jun – Dikira tidak akan ‘kantoi’ tetapi sangkaannya meleset.
Taktik seorang lelaki menyembunyikan dadah dalam sebuah kotak di bawah tempat duduk pemandu keretanya gagal apabila pihak polis berjaya menemui kotak mencurigakan itu ketika membuat pemeriksaan di sekatan jalan raya (SJR) Jalan Lapangan Terbang, Kuching sekitar jam 5.45 petang pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Ahsmon Bajah mendedahkan hasil pemeriksaan lanjut menjumpai beberapa bungkusan berwarna jingga dan plastik lutsinar dalam kotak tersebut yang dipercayai mengandungi dadah jenis ekstasi seberat 1.1 kilogram dan ketamin seberat 15 gram dengan nilai anggaran RM10,600.
“Suspek warga tempatan berusia 27 tahun itu juga didapati positif dadah jenis methampethamine,” jelas Ahsmon dalam satu kenyataan.
Kereta yang dipandu suspek juga dirampas bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.