Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Kerajaan Rangka Pelan Pemulihan Negara Sebagai Persiapan Keluar Dari Pandemik COVID-19

ByBernama

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang merangka Pelan Pemulihan Negara sebagai persiapan untuk negara keluar daripada pandemik COVID-19 pada satu peringkat yang munasabah, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri berkata pelan yang dibuat berdasarkan kepada data, sains dan segala persiapan yang telah dilakukan termasuk dari segi pengurusan COVID-19, ekonomi, program vaksinasi dan sebagainya itu, akan dibentangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam tempoh seminggu akan datang. 

”Beberapa menteri utama yang terbabit sudahpun duduk membentangkan secara kasar kepada saya. Pada dasarnya baik, tetapi belum lagi diperhalusi. 

“Sudah sampai masa kita nak tetapkan satu ‘exit strategy’ atau pelan pemulihan negara untuk kita keluar dari masalah ini, tetapi ini adalah cabaran yang besar bergantung pada kerjasama dan sokongan semua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bergerak di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Johor, Bandar Tun Razak di sini pada Ahad, yang turut disertai Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa.

Muhyiddin berkata pelan itu juga antara lain sebagai makluman kepada rakyat mengenai perkembangan semasa dan fasa-fasa tertentu melibatkan pengurusan COVID-19 di negara ini.

“Ini akan kita teliti, dia (pelan) akan ada fasa satu, fasa dua… berdasarkan kepada data, sebagai contoh kalau (kes) COVID-19 kita lihat sudah ada petanda penurunan, tapi tak boleh lagi meraikan kerana fasa belum selesai. Kalau boleh kita mahu kes turun lagi.

“Ini bermakna kita kena bantu Kementerian Kesihatan (KKM) menguruskan penjagaan kesihatan dalam memastikan sistem penjagaan kesihatan kita tak runtuh… dengan hospital, kemudahan katil, ventilator, kakitangan hospital kita mencukupi. Semua ini sedang kita laksanakan,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata kerajaan sedang menimbang untuk menetapkan satu tarikh akhir bagi pendaftaran vaksinasi COVID-19.

Menurutnya, buat masa ini proses pendaftaran dibuat secara terbuka dan sepanjang masa.

“Katakanlah (kita tetapkan) akhir bulan Julai, jadi siapa belum lagi mendaftar, sila daftar. Kalau ada yang berbaki kita bantu untuk daftar supaya semuanya sudah ada dalam sistem kita dan kita boleh rancang fasa-fasa seterusnya sehingga selesai program vaksinasi ini dilaksanakan di seluruh negara,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dijangka dapat mencapai imuniti kelompok lebih awal pada Ogos ini.

Beliau berkata jangkaan itu berdasarkan kepada pembukaan lebih banyak pusat pemberian vaksin (PPV) termasuk PPV mega dan program vaksinasi bergerak yang membolehkan ramai rakyat di kawasan berkenaan menerima suntikan vaksin.

Mengulas mengenai program vaksinasi bergerak itu, Muhyiddin berkata kaedah tersebut merupakan antara cara untuk menyegerakan program vaksinasi dan pihaknya bercadang menambah lebih banyak lagi PPV bergerak di kawasan-kawasan tertentu.

Pelaksanaan projek rintis vaksinasi bergerak yang bermula pada 7 Jun lepas di PPR Kampung Muhibbah itu adalah hasil kerjasama strategik Kementerian Wilayah Persekutuan bersama KKM, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Yayasan Wilayah Persekutuan.

Program itu merupakan antara tujuh inisiatif Wilayah Cakna 5.0 untuk memastikan 80 peratus warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur selesai divaksinasi pada penghujung Ogos 2021.

— BERNAMA

Tags: #bm

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan