Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Berjalan Baik

KUALA LUMPUR: Jumlah pemberian vaksin harian yang tinggi membuktikan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang dimulakan pada 24 Feb lepas berjalan dengan baik, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Alhamdulillah vaksinasi sudah meningkat… semalam lebih 156,000 orang (terima suntikan vaksin) dan ia akan meningkat sampai 200,000 ke 250,000 pada Julai dan seterusnya 300,00 hingga 400,000 sehari.

“Ini membuktikan program imunisasi berjalan dengan baik dan yang penting kita nak lebih ramai mendaftar dengan MySejahtera ini (untuk mendapatkan suntikan vaksin). Tidak perlu bimbang dan takut kerana terbukti, dengan vaksin kita ada perlindungan atau antibodi bagi menjauhkan kita daripada wabak COVID-19,” kata beliau.

Muhyiddin berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Hospital Pakar Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia dan meninjau pusat pemberian vaksin secara pandu lalu Hospital Canselor Tuanku Muhriz di sini hari ini

Turut hadir Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Muhyiddin berkata kerajaan memberi jaminan setiap rakyat yang layak mendapat suntikan vaksin akan menerimanya bagi mencapai sasaran imuniti kelompok sebelum akhir tahun ini seterusnya memastikan keadaan negara termasuk sistem kesihatan bertambah baik selain ekonomi terus pulih.

“Sebab itu kita tambah Pusat Pemberian Vaksin sehingga 600, unit bergerak dan pandu lalu, kita pergi ke luar bandar supaya tiada rakyat yang patut dapat vaksin tertinggal.

“Ada sesetengah tempat ada Orang Kurang Upaya, kita pergi ke kawasan mereka untuk (mudahkan mereka) dapat rawatan dan langkah yang kita ambil ini adalah secara holistik iaitu ‘whole of society, whole of government’ bagi menentukan kita berjaya memerangi wabak COVID-19,” kata beliau.

Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin berkata penguatkuasaan Ordinan Darurat bagi membendung penularan wabak COVID-19 berjaya memastikan sistem kesihatan di negara ini tidak runtuh.

Perdana menteri berkata menerusi ordinan itu, Kementerian Kesihatan boleh menggunakan peruntukan yang ada untuk mengambil alih dan menggunakan mana-mana hospital termasuk swasta bagi dijadikan hospital khusus merawat pesakit COVID-19.

“Alhamdulillah, sejak awal sampai sekarang kerana ada bantuan-bantuan daripada kerajaan untuk membiayai pelbagai kemudahan dan peruntukan di bawah Ordinan Darurat, sistem kesihatan kita masih boleh berdiri, tidak runtuh.

“Strategi kerajaan ambil hospital ini adalah untuk menentukan apa sahaja permasalahan kes-kes berkaitan dengan COVID-19 dapat diuruskan dengan baik dan sempurna,” katanya yang menyifat pengambilan Hospital Pakar Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (HPKK UKM) sebagai hospital COVID-19 sebagai contoh.

Sementara itu, Pengarah HPKK UKM Prof Dr Syed Zulkifli Syed Zakaria berkata hospital itu dijangka mula menerima pesakit COVID-19 Selasa depan.

Pada 22 Mei lepas, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata pihaknya akan menggunakan Ordinan Darurat untuk mengambil alih dua hospital baharu yang belum digunakan lagi bagi merawat pesakit COVID-19 iaitu Hospital Cyberjaya dan HPKK UKM.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 12 Jan lepas memberi perkenan perisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos ini sebagai langkah proaktif membendung wabak COVID-19 di Malaysia.

— BERNAMA

Tags: #bm

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan