SIBU, JUN 4: Para penjaja di Bandung Walk, Sibu, menarik nafas lega apabila mendapat kebenaran beroperasi sepanjang pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) di Sarawak.
Mereka tiada pilihan selain berniaga dalam tempoh pandemik untuk mencari pendapatan harian, dan menggesa agar penduduk memainkan peranan dalam mematuhi SOP bagi memutuskan rantaian Covid-19.
Bagi peniaga ayam panggang, Molly Haslinda Bohari, beliau bersyukur kerana kebenaran tersebut membolehkannya berniaga semula yang merupakan satu-satunya mata pencarian buatnya.
“Syukur Alhamdulillah saya dapat berjual kerana inilah satu-satunya punca pendapatan saya,” kata Molly ketika ditemui oleh TVS.
Molly berpesan semua pihak agar sama-sama mematuhi SOP supaya mereka dapat terus berniaga.
“Saya dalam kategori B40, jadi syukur dapat berjual semasa PKP. Sama-samalah kita jaga SOP untuk menambah rezeki.”
Bagi Ismail Olen yang berniaga air kelapa, beliau berpandangan kebenaran itu membolehkannya terus mencari sumber pendapatan dengan berniaga.
“Saya gembira boleh berdagang kerana inilah cara saya mencari pendapatan. Yang penting kita jaga SOP. Saya tak suruh pelanggan saya datang berpusu-pusu, saya akan suruh mereka datang seorang-seorang. Mereka perlu patuhi SOP apabila ke gerai saya,” katanya.
Tinjauan TVS mendapati setiap gerai penjaja menyediakan kod pengimbas mySejahtera dan tali amaran untuk mengekalkan jarak fizikal satu meter antara peniaga dan pelanggan.