Kota Sentosa, Padawan, 4 Jun – Operasi pasar basah berjalan lancar walaupun dengan peniaga dan pelanggan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak penularan COVID-19.
Kru TVS berkesempatan meninjau Pasar Basah Kota Sentosa bersama Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan, DSP Lim Jaw Shyong bagi melihat sendiri tahap pematuhan SOP para pelanggan dan peniaga semalam.
Menerusi tinjauan tersebut, didapati aktiviti perniagaan berjalan lancar tanpa berlaku kesesakan di ruang membeli.
“Saya berpuas hati dengan tahap pematuhan mereka (pelanggan dan peniaga) di sini.
Sebelum masuk ke pasar, mereka mengimbas kod MySejahtera, ada yang mencatat nama mereka secara manual dan periksa suhu badan mereka,” ulas Lim ketika ditemubual selepas tinjauan.
Peniaga di pasar tersebut sedia maklum dengan SOP yang perlu dipatuhi sepanjang operasi perniagaan dijalankan terutamanya memakai pelitup muka dan menjaga jarak fizikal.
SOP tersebut juga tidak mendatangkan masalah kepada komuniti peniaga kerana ia dilihat dari sudut positif untuk mengelak penularan pandemik maut itu.
Dalam pada itu, Lim mendedahkan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan telah mendirikan empat sekatan jalan raya bagi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali ini.
Setakat 2 Jun 2021, 22,149 buah kenderaan telah diperiksa dan daripada jumlah itu, 472 buah kenderaan telah diarahkan untuk berpatah balik kerana tidak dibenarkan untuk merentas.
“24,040 individu telah diperiksa dan setakat ini tiada kompaun dikeluarkan di mana-mana penugasan sekatan jalan raya.”
Turut hadir dalam tinjauan itu, Ketua Polis Balai Kota Sentosa, ASP Mohd Roslan Mat Salleh dan beberapa anggota dari agensi lain termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan RELA.