SIBU, JUN 3: Meskipun berdepan dengan kesukaran untuk menyelesaikan urusan pembayaran, penutupan UTC sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 disambut baik masyarakat di Sibu.
Bagi peniaga Doris Jabah Aban, ada wajarnya penutupan tersebut untuk mengurangkan orang ramai keluar berpusu-pusu,
“Baguslah UTC tutup, kalau tak tutup memang ramai orang pergi san,” kata Doris. “Cuma agak susah nak bayar bil. Orang tak nak pergi tempat lain, mereka nak pergi UTC saja kerana mudah. Tapi sekarang memang susah sikit nak bayar apa-apa, jadi tunggu UTC buka balik saja.”
Bagi pekerja swasta Suhaili Zailani, beliau bersetuju dengan penutupan UTC sebagai langkah mengelakkan penularan Covid-19 kerana menurutnya orang ramai yang berurusan di UTC sering meremehkan penjarakan fizikal.
“Ssaya fikir baguslah UTC tutup untuk mengurangkan kes Covid-19. Biasanya ramai orang nak beratur nak ambil nombor apa semua, sampai penjarakan sosial pun dah tak ikut,” katanya ketika ditemui TVS.