TIMBALAN Ketua Menteri Tan Sri James Jemut Masing menggesa masyarakat untuk tidak mengambil ringan pandemik COVID-19 yang kini masih membelenggu dunia.
Tegas beliau, satu-satunya cara untuk mengatasi pandemik ini adalah menerusi vaksinasi.
Menerusi satu hantaran di laman Facebook miliknya, Masing berkata kesakitan kehilangan adiknya akibat COVID-19 sangat tidak tertanggung.
Lebih menyakitkan katanya, apabila ahli keluarga hanya dapat melihat pengebumian adiknya dari jauh.
“COVID-19 harus diambil serius. Kesakitan kehilangan seseorang yang tidak dapat dipegang atau dilihat buat kali terakhir amat sukar.
“Setiap orang harus sedar betapa bahayanya pandemik ini. Lagi awal mendapatkan vaksin adalah lebih baik.” katanya.
Jantai meninggal dunia pada Isnin, 31 Mei beberapa hari selepas isterinya yang juga tertewas akibat virus pembawa maut itu.
Mendiang meninggalkan empat anak, tiga perempuan, seorang lelaki, Nicholas Kudi yang juga Setiausaha Politik Ketua Menteri.