Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Sebar Berita Palsu, Guru Tuisyen Didakwa Ordinan Darurat

ByTVS

JOHOR BAHRU, JUN 2: Guru tuisyen didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana menyebar berita palsu berkaitan Covid-19 pada April lalu.

Mohd Nazaruddin Yusoff, 50, menjadi antara dua individu pertama di negara ini didakwa mengikut Seksyen 4(1) Ordinan Darurat.

Difahamkan, seorang lagi turut didakwa mengikut seksyen yang sama di Perlis hari ini.

Bagaimanapun, Mohd Nazaruddin mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.

Mohd Nazaruddin didakwa menyebabkan ketakutan atau kebimbangan kepada orang ramai dengan mengadakan penerbitan mengandungi berita tidak benar.

Dia didakwa memuat naik sekeping gambar ke akaun Facebook http://www.facebook.com/cikgu.nazaruddin yang menggunakan profil ‘Mohd Nazaruddin Yusoff’.

Gambar itu memaparkan seorang anggota polis dilihat terbaring dengan beberapa anggota polis memberi bantuan dengan keterangan gambar, ‘Mati lagi…di Pontian, vaksin kedua’.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Bahagian Pengurusan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian pada 11.50 pagi, 21 April lalu.

Mohd Nazaruddin didakwa mengikut Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No 2) 2021 yang boleh didenda maksimum RM100,000, penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya serta denda selanjutnya maksimum RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu berterusan selepas sabitan.

Kes dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim memerintahkan tertuduh dijamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes ditetapkan pada 7 Julai ini bagi pengurusan kes dan penyerahan dokumen.

Sumber: Harian Metro

Tags: #bm

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan