KUCHING (1 Jun) – Suspek kejadian langgar lari yang mengakibatkan seorang penunggang motosikal maut diserahkan kepada pihak polis oleh bapanya sendiri pada jam 11:50 pagi tadi.
Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah (KPD) Padawan, DSP Lim Jaw Shyong, suspek yang berusia 23 tahun dan bekerja sebagai tukang masak itu kini ditahan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Kejadian tersebut berlaku di hadapan sebuah stesen minyak di Jalan Batu Kawa sekitar jam 10:45 malam pada Isnin.
Mayat mangsa ditemui terbaring di atas jalan raya lengang susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di mana tiada lagi pergerakan dibenarkan selepas pukul 10:00 malam dan hanya dijumpai oleh Unit Peronda Polis yang bertugas.
Salah seorang anggota polis berkenaan yang merupakan saudara mangsa, mengenal pasti identiti mangsa sebagai Safiee Yusup.
“Sampel darah suspek telah diambil untuk ujian dadah dan alkohol.
Kereta yang digunakannya juga telah disita untuk membantu siasatan,” kata Lim dalam satu kenyataan.
Mangsa berusia 40 tahun itu dalam perjalanan pulang dari tempat kerja di pusat bandar Kuching ketika kejadian tersebut berlaku.
Difahamkan motosikal mangsa diseret kira-kira 10 kilometer dari lokasi mayat mangsa ditemui iaitu berhampiran sebuah unit komersial di Jalan Batu Kawa-Matang.
Mangsa yang mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan paramedik yang hadir di lokasi.
Mayat kemudian dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk tindakan selanjutnya.