KUCHING: Ketua kampung dan Tuai Rumah (ketua rumah panjang) boleh memainkan peranan mengekang penularan wabak COVID-19 semasa sambutan Hari Gawai esok dengan memastikan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dipatuhi sepenuhnya.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud berkata SOP tersebut bertujuan untuk melindungi khususnya golongan warga emas dalam keluarga daripada dijangkiti penyakit itu yang boleh membahayakan nyawa mereka.
“Hari Gawai dapat disambut setiap tahun, tetapi nyawa yang hilang atas kecuaian kita sendiri, sudah tentu tidak dapat diganti,” katanya dalam perutusan sempena Hari Gawai di sini, hari ini.
Beliau berkata berikutan penularan virus itu tradisi balik ke kampung halaman untuk menyambut perayaan tidak dapat dilakukan memandangkan negeri ini sekarang diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Walaupun banyak kekangan perlu dipatuhi untuk perayaan kali ini, antaranya tidak boleh berkumpul beramai-ramai dan tidak boleh ‘ngabang’ (kunjung-mengunjung) Gawai seperti yang selalu dilakukan, namun itulah kenyataan harus dihadapi bersama,” katanya.
— BERNAMA