LONDON: N’Golo Kante dinobat sebagai pemain terbaik perlawanan dan membantu Chelsea mengalahkan Manchester City 1-0 dalam final Liga Juara-Juara pagi tadi.
Bagaimanapun, apa yang dilakukan bintang tengah Perancis itu sebelum berlepas ke Portugal lebih mengujakan rakyat Malaysia.
Sebelum menyertai pasukannya ‘terbang’ ke Porto, pemain berusia 30 tahun itu sempat menjamu nasi lemak di sebuah restoran Malaysia di London, Tuk Din Flavours of Malaysia.
Menurut perkongsian dalam Instagram restoran itu, Kante mengambil sepinggan nasi lemak dan ayam masak merah.
“N’golo Kante menikmati makanan Malaysia, nasi lemak dan ayam masak merah.
“Ia sebelum dia terbang untuk aksi Liga Juara-Juara bertemu Manchester City di Portugal,” menurut kapsyen Instagram Tuk Din Flavours of Malaysia.
Jaringan Kai Havertz pada babak pertama membawa Kante dan rakan-rakannya menjulang kejuaraan Eropah buat kali kedua.
Ini adalah trofi besar kedua diraih Kante dalam kariernya selepas membantu Perancis muncul juara Piala Dunia 2018.
Sumber: Utusan Malaysia