KUALA LUMPUR: Malaysia berjaya mengesahkan sekurang-kurangnya satu slot di final kejohanan badminton Terbuka Austria selepas empat wakil beregu negara mara ke pusingan separuh akhir pada aksi di Raiffeisen Sportpark di Graz, awal pagi tadi.
Dua wakil beregu campuran negara, Juara Kejohanan Antarabangsa Slovenia 2021 Choong Hon Jian-Toh Ee Wei dan Beh Chun Meng-Cheng Su Hui akan merebut slot final di terbuka itu selepas mudah melepasi lawan masing-masing pada pusingan suku akhir.
Menurut laman sesawang Persekutuan Badminton Dunia (BWF) bwfbadminton.com, Hon Jian-Ee Wei yang mengintai gelaran kedua berturut-turut tahun ini hanya mengambil masa 23 minit menewaskan pasangan dari Slovenia, Miha Ivanic-Nika Arih 21-7, 21-12 pada saingan suku akhir.
Terdahulu, Chun Meng-Su Hui mara ke saingan empat terbaik selepas mengatasi pasangan Denmark, Mads Vestergaard-Natasja P. Anthonisen 21-18, 22-20.
Kecemerlangan itu diteruskan beregu lelaki negara Wan Arif Wan Junaidi-Muhammad Haikal Nazri yang bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menoktahkan cabaran gandingan Denmark, Emil Lauritzen-Mads Vestergaard, di suku akhir dengan kemenangan 18-21, 21-19, 21-12.
Wan Arif-Muhammad Haikal dijadualkan bertemu satu lagi wakil Denmark, Mads Pieler Kolding-Frederik Sogaard yang mengatasi pasangan negara Chang Yee Jun-Chia Wei Jie 22-20, 21-15, untuk mara ke pentas separuh akhir.
Sementara itu, beregu wanita negara Anna Cheong Ching Yik-Yap Cheng Wen menempah slot separuh akhir selepas mencatat kemenangan 21-13, 21-13 ke atas pasangan Poland, Dominika Kwasnik-Kornelia Marczak.
Menanti Anna-Cheng Wen di peringkat seterusnya ialah gandingan Clara Azurmendi-Beatriz Corrales dari Sepanyol yang menewaskan wakil negara Low Yee Yuan-Siow Valeree 22-20, 21-11 di pusingan suku akhir.
Saingan separuh akhir Terbuka Austria dijangka bermula pada 4 petang hari ini waktu tempatan.
— BERNAMA