KUCHING (30 MEI): Seorang wanita warganegara China ditahan polis selepas dipercayai melakukan perbuatan khianat dengan seorang lelaki warganegara sama dengan bertindak membakar keretanya.
Suspek yang berusia 34 tahun itu ditahan di sekitar kawasan kejadian di Jalan Song Thian Cheok, Kuching oleh pasukan khas yang diketuai Ketua Polis Balai Padungan.
Ketua Polis Daerah (KPD) Kuching, ACP Ahsmon Bajah mendedahkan dalam satu kenyataan pada Ahad, dalam kejadian pada jam 2 pagi itu, sebuah kereta dipercayai milik seorang lelaki warganegara China telah ditemui terbakar di kawasan tersebut dan hasil siasatan awal yang dijalankan mendapati punca kejadian adalah bermotifkan cemburu.
Pihak bomba yang menerima panggilan kecemasan sekitar jam 1:46 pagi terus bergerak ke lokasi kejadian dengan keluaran dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padungan seramai 10 kekuatan.
“Api berjaya dikawal sepenuhnya sekitar jam 2:16 pagi dan tiada kecederaan mahupun kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden berkenaan. Insiden tersebut mengakibatkan kereta itu musnah 95 peratus,” demikian menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak.
Siasatan kini dijalankan di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat dengan api yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan juga denda.