KOTA BHARU: Satu mesyuarat Kabinet bakal diadakan dalam tempoh terdekat untuk memutuskan sama ada kerajaan akan meneruskan penghantaran jemaah haji tahun ini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary.
Beliau berkata pihaknya turut difahamkan sudah ada beberapa negara yang telah memutuskan untuk tidak menghantar jemaah menunaikan haji pada tahun ini.
“Apa pun kita tunggulah keputusan Kabinet kerana masa yang ada sudah semakin suntuk.
“Memang negara kita dibenarkan untuk mengerjakan haji dalam jumlah tertentu namun angka atau kuotanya masih lagi kabur,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri penyerahan barangan keperluan makanan sumbangan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) Kelantan kepada penduduk Kampung Pauh Lima, di sini hari ini.
Ahmad Marzuk berkata berdasarkan maklumat, kerajaan Arab Saudi membenarkan hanya 60,000 jemaah haji tahun ini iaitu 45,000 jemaah dari seluruh dunia dan 15,000 jemaah dari negara itu sendiri.
“Malaysia juga mendapat ruang tertentu tetapi kita belum mendapatkan lagi keputusan jelas (jumlah sebenar kuota jemaah) daripada kerajaan Arab Saudi. Kita jangkakan dalam masa terdekat ini jumlah itu bakal diperoleh,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai vaksin jenis Sinovac yang tidak diterima pakai oleh Arab Saudi, Ahmad Marzuk yang juga Ahli Palimen Pengkalan Chepa berkata, kerajaan akur sekiranya peraturan itu ditetapkan negara tersebut.
“Soal itu sebenarnya tidak berbangkit kerana sudah ramai rakyat negara ini yang mengambil vaksin Pfizer-BioNtech dan vaksin jenis itu diiktiraf oleh Arab Saudi,” katanya.
— BERNAMA