KUCHING: Sebagai menghargai pengorbanan dan sumbangan pengamal media di Sarawak yang berdepan risiko pandemik COVID-19 semasa bertugas, Kerajaan Sarawak menyediakan pembayaran tunai sebanyak RM1,500 secara one-off kepada pengamal media barisan hadapan.
Menurut Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, langkah ini akan melibatkan perbelanjaan kerajaan Sarawak sebanyak RM900,000.
Sementara itu, menyedari para penjaja dan peniaga kecil merupakan golongan yang paling terkesan oleh COVID-19, kata Abang Johari, Kerajaan Sarawak turut akan memberi Geran Khas berjumlah RM1,500 kepada para penjaja dan peniaga kecil yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Tempatan.
“Pembayaran akan dibayar secara 2 peringkat iaitu RM750 pada bulan Julai dan RM750 pada bulan Disember 2021 melalui Sarawak Pay.
“Bantuan Geran Khas ini akan melibatkan perbelanjaan Kerajaan Sarawak lebih daripada RM97.5 juta,” katanya pada sidang media khas Bantuan Khas Sarawakku Sayang 6.0 di sini.