SIBU, MEI 27: Dahulunya penjual sayur di Pasar Sentral Sibu, minatnya terhadap seni pembuatan aksesori manik dan permintaan yang tinggi menyebabkan Senah Edward Jadam beralih arah berniaga aksesori maniknya.
Permintaan yang tinggi daripada rakan-rakannya yang mengusahakan aksesori manik membuatkan beliau yakin untuk berhenti menjual sayur dan menumpukan perhatian terhadap perniagaan maniknya.
Senah akui jualan aksesori maniknya lebih maju dan mendapat permintaan tinggi dari jualan sayur-sayuran menyebabkan beliau serius mengusahakannya.
“Dari tahun 2019, saya minat buat manik kerana pengaruh kawan. Mula-mula buat sikit-sikit. Selepas itu, saya mula menjual manik. Dulu saya jual sayur tapi jualan manik lebih tinggi,” katanya ketika ditemui TVS di Pasar Sentral Sibu.
Ada pelbagai jenis aksesori manik yang dihasilkan seperti rantai, tango, rantai kabo, gelang tangan, gelang kaki, anting-anting dan selampai berasaskan manik yang berlainan jenis dan saiz.
Tambahnya, bekalan manik biasanya diperolehi dari Kuching.
Jelasnya, aksesori itu digemari orang ramai sebagai perhiasan pada hari-hari perayaan seperti Hari Gawai selain digunakan pada majlis makan malam.
“Pembeli memang suka manik contohnya rantai tango moden. Ada yang beli untuk Gawai. Ada juga yang beli untuk suka-suka contohnya untuk majlis makan malam,” kata Senah.
Sebagai seorang peniaga, Senah tidak terkecuali dari terkena tempias cabaran berniaga dalam tempoh pandemik Covid-19.
Menjelang Gawai, pandemik Covid-19 telah menjejaskan sambutan jualan aksesori maniknya kerana perniagaannya bergantung pada operasi Pasar Sentral Sibu yang sering diarahkan tutup.
“Sebelum Covid-19 memang banyak sambutan tapi sekarang semakin berkurangan. Ada juga orang beli tapi tidak seperti Gawai pada tahun-tahun yang lepas kerana semakin sikit orang keluar. Pasar Sibu pun selalu tutup, jadi saya pun susah nak berniaga,” keluh Senah.
Namun cabaran tersebut tidak mematahkan semangatkannya untuk terus berniaga.
Senah berharap agar perniagaannya semakin maju pada masa akan datang dan beliau dapat mempelbagaikan lagi aksesori berasaskan manik buatannya.