KUCHING: Cubaan sekumpulan nelayan dari Vietnam melarikan diri selepas dikesan mencuri hasil laut negara berdekatan Tanjung Po tidak berjaya apabila dipintas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sarawak.
Menurut Pengarah Maritim Sarawak Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus pihaknya mengambil masa 45 minit untuk memintas bot nelayan asing tersebut.
Selepas berjaya dihimpit rapat, didapati kesemua enam kru termasuk tekong merupakan warganegara vietnam.
Tangkapan tersebut adalah hasil maklumat risikan serta aduan komuniti nelayan tempatan mengenai aktiviti pencerobohan oleh nelayan asing Vietnam di perairan
Sarawak.
Berikutan itu, Maritim Negeri Sarawak melakukan pemantauan rapi berjaya mengesan sebuah bot yang mencurigakan sekitar jam lebih kurang 4.00 pagi.
“Menyedari kehadiran aset penguat kuasa, bot tersebut melepaskan peralatan menangkap ikan sebagai cubaan untuk melupuskan bahan bukti dan cuba melarikan diri daripada ditahan oleh pihak berkuasa.”
“Pihak penguat kuasa terus mengejar bot tersebut dengan mengambil masa hampir 45 minit untuk memintas dan berjaya menahan bot nelayan asing tersebut.”
Hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut tiada memiliki sebarang dokumen serta lesen dari pengarah perikanan malaysia untuk melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan negara.
Manakala enam kru termasuk tekong warga Vietnam berumur dalam lingkungan 22 hingga 51 tahun juga gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang
sah.
Zin Azman sentiasa mengalu-alukan orang ramai membuat aduan serta menyalurkan maklumat berkenaan dengan sebarang aktiviti yang mencurigakan di laut.
Aduan boleh dibuat dengan menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam.