KOTA SAMARAHAN, 26 Mei: “Sabar kejap pak, jala aku nyangkut juak tuk,”. Itulah kata-kata terakhir Allistar Rabanie, 30, yang dipercayai disambar buaya di Batang Samarahan, Kampung Naie dalam kejadian sekitar jam 11:30 pagi Rabu.
Menurut bapa mangsa, Rabanie Amit, mereka bergerak dari rumah ke pangkalan pada jam 10 pagi bersama birasnya yang juga bapa saudara mangsa.
Rabanie menjelaskan sebelum kejadian, jalanya tersangkut pada sesuatu dan meminta bantuan anaknya itu untuk membetulkan semula jalanya.
“Jala saya tersangkut jadi saya minta tolong anak saya untuk betulkan.
“Tetapi dia menjawab: ‘sabar sekejap pak, jala saya tersangkut juga’.
” Jadi kesudahannya dia betulkan jala dia, saya betulkan jala saya sendiri,” katanya ketika dihubungi TVS pada Rabu.
Mengimbau kembali detik-detik cemas insiden tersebut, Rabanie berkata dia hanya menyedari anaknya disambar buaya selepas melihat kepulan air di sungai berkenaan.
Bagaimanapun dia tidak sempat menyelamatkan anaknya kerana insiden tersebut berlaku terlalu pantas.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan, PKPgB Ebby Hirwandy Sarbini berkata setakat jam 3 petang Rabu, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) masih belum menemui sebarang petunjuk mengenai mangsa di sungai berkenaan.
“Operasi pencarian masih diteruskan dengan kekuatan pasukan bomba seramai tujuh orang, anggota PDRM dan ATM masing-masing seramai dua orang, anggota RELA seramai tiga orang, kru Samarahan Crocodile Hunter seramai empat orang dan penduduk kampung seramai 12 orang,” jelasnya kepada TVS.
Sebanyak 62 kes melibatkan buaya telah direkodkan sejak 2013 sehingga tahun ini, dengan 47 kes melibatkan kematian.