KANGAR, 25 Mei – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan untuk membendung penularan COVID-19, memberi rezeki kepada seorang gadis yang bekerja sambilan sebagai penghantar makanan di sebuah restoran makanan segera di sini bagi meraih pendapatan untuk membantu keluarganya.
Menurut Nur Adilah Mayamin Jama’amal 20, bukan mudah untuk mendapat peluang pekerjaan dalam pandemik COVID-19 jesteru tanpa mengira cuaca panas atau hujan, dia yang mula bertugas di syarikat Dominoz Pizza di sini sejak awal Januari tahun ini, komted bekerja kerana permintaan pesanan makanan meningkat dua kali ganda berbanding biasa.
“Saya lihat orang ramai sudah mulai takut untuk keluar membeli makanan dengan keadaan semasa COVID-19 dan dengan status Zon Merah sekali gus berlaku peningkatan pesanan makanan secara dalam talian melalui aplikasi Food Panda yang melonjak sehingga saya terpaksa mengejar giliran.
“Saya buang rasa malu kerana mahu bantu ringakan beban ibu, ibu bekerja kilang sahaja dengan gaji tidak seberapa dan perlu menanggung saya dan kakak setelah berpisah dengan bapa sejak tiga tahun lalu, setidaknya saya ada duit poket sendiri tanpu perlu meminta daripada ibu,” katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata dalam tempoh lapan jam waktu bekerja, dia akan melakukan lebih 12 penghantaran, membolehkannya meraih kira- kira RM70 sehari dan upah itu tidak termasuk kerja sambilan di dapur yang dibayar antara RM 600 dan RM700 sebulan.
Nur Adilah berkata biarpun jumlah itu tidak seberapa namun jika rajin dan permintaan pesanan bertambah, beliau boleh terima upah dua kali ganda sehari dengan hanya membonceng motosikal dan menghantar pesanan.
Kata anak kelahiran Perlis yang menetap di Kampung Paya, Beseri di sini nekad untuk tidak menyambung pelajaran setelah tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 dan mula bekerja pada usia 18 tahun di sebuah kilang di sini tempat sama ibunya bekerja.
Namun katanya setelah PKP 1.0 mula dilaksanakan pada Mac 2020, beliau terpaksa berhenti kerja.
Selepas berhenti kerja, rakannya mempelawa Nur Adilah bekerja dalam bidang ini dan sejak itu bermulalah kerjayanya sebagai gadis penghantar makanan.
– BERNAMA