Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
IPOH, 24 Mei -- Orang ramai membeli bekalan makanan ketika tinjauan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Mukim Hulu Kinta di Pasar Gunung Rapat, hari ini. Pelaksanaan PKPD bagi empat mukim di Perak iaitu Pengkalan Hulu, Taiping, Hulu Kinta, dan Hulu Bernam Timur bermula 22 Mei hingga 4 Jun ini. -- fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

SHMMP Pesta Kaamatan, Hari Gawai Libatkan 11 Barangan

PUTRAJAYA: Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Pesta Kaamatan 2021 dan Hari Gawai 2021 akan dilaksanakan di Wilayah Persekutuan Labuan, Sabah dan Sarawak selama tujuh hari melibatkan 11 jenis barangan, umum Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi hari ini.

SHMMP Pesta Kaamatan bermula pada 27 Mei ini hingga 2 Jun iaitu tiga hari sebelum perayaan, pada hari perayaan dan tiga hari selepas perayaan, manakala SHMMP Hari Gawai berkuat kuasa pada 28 Mei hingga 3 Jun iaitu empat hari sebelum perayaan, pada hari perayaan dan dua hari selepas perayaan, katanya.

Pesta Kaamatan akan disambut oleh penduduk di Labuan dan Sabah pada 31 Mei dan Hari Gawai disambut oleh penduduk di Sarawak pada 1 Jun ini.

Nanta berkata kategori barangan harga terkawal terdiri daripada ayam, telur ayam dan babi.

“Kementerian akan membuat pemeriksaan dan pemantauan di premis yang berkaitan di Labuan, Sabah dan Sarawak bagi memastikan peniaga patuh ke atas SHMMP ini. Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya dalam sidang media secara maya hari ini.

Nanta berkata individu yang menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000.

Syarikat pula boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000, katanya.

Bagi kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal, peniaga boleh didenda sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000 manakala syarikat boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000.

Nanta berkata pengguna yang terjejas boleh menyalurkan aduan menerusi portal https://eaduan.kpdnhep.gov.my/ atau pusat panggilan di talian 1-800-886-800.

Aduan juga boleh dibuat melalui aplikasi telefon pintar Ez ADU, talian Enforcement Command Centre (ECC) 03-8882 6245 / 6088, WhatsApp ke 019-279 4317 atau hadir ke mana-mana 72 pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di seluruh negara.

— BERNAMA

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan