Kuala Lumpur, 24 Mei – Malaysia menyasarkan untuk mencapai imuniti kelompok dengan sekurang-kurangnya 70 peratus penduduk divaksinasi menjelang akhir tahun, namun sehingga kini peratusan populasi negara yang mendaftar bagi suntikan vaksin COVID-19 adalah amat rendah.
Pada masa sama, kadar ketidakhadiran bagi yang telah diberi janji temu juga agak tinggi dengan pelbagai alasan diberikan, malas banyak pembatalan dibuat pada saat akhir atau tiada sebarang pemakluman. Maka apakah impak sikap tersebut terhadap negara?
Menurut pakar virologi dari Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Madya Dr Yahya Mat Arip, sekiranya ramai yang tidak menepati tarikh janji temu maka ia menggangu sasaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dan seterusnya imuniti kelompok lambat tercapai.
“Individu yang tidak hadir pada janji temu suntikan vaksin sememangnya akan diberikan satu tarikh yang baharu tetapi seboleh-bolehnya tepatilah tarikh diberikan melainkan atas faktor tidak dapat dielakkan, supaya perancangan oleh pihak mengruskan pemberian vaksin berjalan lancar.
“Tetapi sekiranya tidak hadir tanpa alasan munasabah atau kerana terpengaruh dengan dakyah tidak betul, ini adalah satu sikap tidak bertanggungjawab, sedangkan masih ramai lagi sedang menunggu tarikh janji temu dan mengharapkan unduk mendapatkan vaksin dengan segera,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi.
Beliau berkata kegagalan untuk hadir pada janji temu suntikan vaksin juga boleh menyebabkan berlakunya pembaziran dos kerana vaksin yang telah dikeluarkan dari tempat simpanan mempunyai hayat pendek dan perlu digunakan habis.
Yahya berkata apabila hendak digunakan, vaksin perlu dikeluarkan terlebih dahulu untuk mencapai suhu bilik sebelum disuntik kepada individu, yang mana pengulangan perbezaan suhu simpanan dan suhu bilik adalah tidak bagus kepada vaksin kerana ia boleh menyebabkan vaksin terdegradasi (rosak).
“Bergantung kepada jenis vaksin sama ada vaksin tersebut bersifat sensitif kepada suhu atau tidak, contohnya vaksin Pfizer (Pfizer-BioNTech) yang bersifat sensitif suhu dan perlu disimpan pada suhu sangat rendah iaitu -70 darjah celsius apabila dikeluarkan dari tempat penyimpanan, ia perlu digunakan dalam tempoh tertentu dan tidak boleh disimpan semula pada suhu rendah tersebut.
“Maka, perancangan rapi berdasarkan jumlah janji temu adalah penting untuk mengelakkan pembaziran dan itulah pentingnya seseorang itu menepati tarikh janji temu supaya tidak berlaku pembaziran vaksin terdegradasi,” katanya dengan menambah vaksin jenama lain adalah lebih stabil dan tidak memerlukan penyimpanan di suhu rendah (-70°C) tetapi masih memerlukan simpanan di tempat sejuk iaitu -20°C atau 4°C.
Memberi contoh vaksin Pfizer-BioNTech yang memerlukan enam orang untuk setiap berbuli (vial), Yahya berkata sekiranya tidak cukup seorang pada satu-satu hari itu, ia akan menyusahkan lima lagi individu yang hadir, selain memberi tugas tambahan kepada pegawai perubatan untuk mencari pengganti dalam masa singkat.
“Ini akan membuang masa dan usaha lima orang tersebut dan sudah pasti mengecewakan. Kalau sudah dua atau tiga kali berlaku perkara sama, sudah pasti akan hilang semangat individu yang pada awalnya bersedia untuk terima vaksin,” katanya.
Berkongsi pandangan serupa, Presiden Persatuan Farmasi Malaysia Amrahi Buang berkata sepertimana ubat-ubatan, vaksin juga mempunyai tarikh luput yang mana selalunya bertahan untuk tempog setahun.
Beliau berkata adalah amat penting untuk setiap vial vaksin diterima di dalam negara disuntik segera kepada penerima tetapi sekiranya jumlah individu hadir pada janji temu tidak mencukupi, akan berlakunya pembaziran terhadap vaksin yang sangat berharga dalam pasaran dunia.
“Sinovac memerlukan hanya seorang untuk setiap bebuli, namun Pfizer memerlukan enam orang dan AstraZeneca pula memerlukan 10 orang, jadi kena cukupkan jumlah itu untuk setiap suntikan vaksin.
“Katakan bebuli itu untuk 10 orang, biasanya mereka (juru suntik) sudah keluarkan siap-siap 10 dos ke dalam picagari, jadi kalau seorang tidak datang, itu bermakna kita membazir satu dos kerana ia tidak boleh disimpan kembali dan digunakan pada lain hari,” katanya.
Beliau juga percaya bahawa isu potong giliran suntikan vaksin adalah satu persepsi semat-mata, yang mana sebenarnya terjadi ialah orang lain dipanggil untuk mendapatkan suntikan bagi menggantikan mereka yang gagal hadri pada janji temu itu.
Sementara itu, Amrahi berkata negara kini berdepan dengan dua kemudaratan iaitu jangkitan besar COVID-19 dan mendepani ketakutan serta keengganan sesetengah pihak untuk mengambil vaksin, seperti mana yang berlaku di Kelantan apabila ramai tidak hadir dengan memberikan pelbagai alasan.
“Banyak cabaran dan impak terhadap kesihatan dan juga negara sekiranya mereka enggan hadir untuk mengambil vaksin sedangkan sudah dijadualkan, dalam masa sama pihak berkaitan juga perlu “berkejar’ untuk memastikan vaksin itu tidak tamat tempoh, maka perlunya tanggungjawab dari kedua-dua pihak,” katanya.
Pada 16 Mei lepas, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Hussin berkata sebanyak 1,800 individu tidak hadir pada fasa kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dengan memberi pelbagai alasan termasuklah meragui status halal dan merasakan vaksin itu tidak memberi manfaat untuk perlindungan, selain takut akan kesan sampingan.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia Datuk Dr Zainal Ariffin Omar pula berkata selain mengkucar-kacirkan jadual dan stok vaksin kerana janji temu perlu diatur semula serta perlu mencari pengganti untuk suntikan vaksin pada hari tersebut, mereka yang tidak hadir itu sebenarnya rugi kerana tidak divaksinasi dan berhadapan risiko terkena jangkitan serius.
“Mereka yang sengaja tidak hadir dan bukan kerana isu kecemasan mempunyai sikap ambil mudah, tidak bertanggungjawab dan tidak peduli kesusahan yang terpaksa dilalui orang lain dimana vaksin bila dah dibuka, bukannya boleh simpan lama untuk elak kerosakn dan pencemaran,” katanya.
-BERNAMA