SIAPA agaknya yang berani membeli ayam dijual oleh hantu?
Sebenarnya ayam goreng ala Korea itu digoreng oleh Hantu Janet, watak dalam Cerita Antu terbitan TVS
Siapa sangka pelakon sampingan itu mempunyai bakat selain membawakan watak seram, iaitu menjual ayam goreng pedas ala-ala Korea dan menjadi usahawan ayam goreng yang kian berjaya.
Siti Nur Azelina Nizam, 24, yang lebih mesra dikenali sebagai Azel, pernah bekerja sebagai seorang pakar terapi kecantikan namun telah diberhentikan kerja ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.
Setelah kehilangan kerja Azel bertekad untuk mencari pekerjaan baru namun rezeki tidak memihak kepadanya apabila gagal mendapat kerja.
Bermodalkan gaji terakhir beliau, Azel mula berjinak-jinak dalam perniagaan dengan menjual ayam goreng pedas ala-ala Korea.
Beliau menjenamakan ayam gorengnya itu sebagai KCSpicy bersama rakan niaganya, Abang Muhammad Syafiq, 23 dan pernigaan mereka nampaknya semakin maju.
“Saya suka sangat makan ayam pedas Korea namun ketika itu sukar mendapatkannya jadi saya buat sendiri kemudian menjadikannya sebagai sumber pendapatan dengan berniaga
“Mula-mula saya menjalankan perniagaan ayam pedas Korea secara kecil-kecilan di laman media sosial seperti di Facebook dan Instagram, tidak sangka pula dapat sambutan,” kataya.
Mengakui sememangnya suka memasak, beliau mencuba pelbagai resipi ayam goreng Korea sehingga berjaya menemui resipi yang menepati citarasanya dan pelanggan.
KCSpicy menawarkan lima perisa utama iaitu KCSpicy Korean Spicy Chixzy, KCSpicy Korean Signature Spicy, KCSpicy Korean Honey Butter, KCSpicy Korean Volcano 2xSpicy dan KCSpicy Korean Golden Nestum yang dijual di Fauziah Family Cafe yang terletak di Metrocity.