Tanggungjawab pasukan bomba bukan memadamkan kebakaran dan menyelamatkan nyawa individu semata-mata, tetapi juga memberi khidmat khas menyelamatkan hidupan-hidupan lain seperti haiwan.
Sembilan anggota diketuai seorang pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng hari ini berusaha untuk menyelamatkan seekor ikan paus yang terdampar di tepi Pantai Kuala Baram, Miri sekitar jam 4.15 petang tadi.
Bagaimanapun pasukan penyelamat berhadapan kesukaran untuk menolak ikan paus tersebut ke laut kerana ombak besar.
Keadaan ikan paus yang dianggarkan bersaiz tiga ke empat meter panjang itu dikatakan lemah dan terdapat luka-luka pada badannya akibat dipukul ombak besar sehingga ke benteng batu pemecah ombak.